Masih ada peniaga degil!
SELAYANG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjalankan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan ke atas aktiviti di premis perniagaan di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, pihaknya mendapati terdapat pengusaha termasuk bengkel motosikal, kedai tayar dam pusat cuci kereta masih meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.
Menurutnya, beberapa notis ke atas peniaga ingkar telah dikeluarkan di kawasan sekitar Selayang termasuk Selayang Jaya itu.
"Peniaga terlibat boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika didapati gagal mematuhi peraturan di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988) (Akta 342).
"MPS memandang serius dan berharap para peniaga tidak mencabar arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi mengawal penularan koronavirus (Covid-19)," katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu di seluruh negara mulai hari ini hingga 31 Mac 2020.
Beliau menjelaskan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
Bagaimanapun terdapat 25 sektor dikecualikan dari perintah itu antaranya air, elektrik, tenaga dan telekomunikasi selain penyiaran serta kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!