PRK Cameron Highlands: Seng Yee mula kempen di ladang

Calon Bebas, Wong Seng Yee meneruskan rutin harian meninjau ladang bunga kekwa miliknya sebelum memulakan kempen pada hari ketiga PRK Cameron Highlands. - Foto SINAR HARIAN/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Calon Bebas, Wong Seng Yee meneruskan rutin harian meninjau ladang bunga kekwa miliknya sebelum memulakan kempen pada hari ketiga PRK Cameron Highlands. - Foto SINAR HARIAN/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

TANAH RATA - Jika calon lain memulakan kempen sebaik sahaja selesai proses penamaan calon pada Sabtu lalu, peladang bunga kekwa Wong Seng Yee yang bertanding atas tiket Bebas jelas tidak mahu tergesa-gesa apabila hanya memulakan kempennya bagi PRK Cameron Highlands hari ini.

Beliau juga memulakan kempen dengan cara yang agak berbeza apabila membawa sekumpulan wakil media ke ladang bunga kekwanya di Habu dekat sini, bagi berkongsi rutin hariannya.

“Beginilah saya setiap hari dan inilah uniform yang saya pakai,” katanya yang tampil berseluar kargo, bertopi mengkuang dengan but kuning “Phua Chu Kang” kepada wakil media.

Menurut pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang hortikultur daripada Unversity of Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat itu, beliau mengusahakan ladang kekwa seluas empat hektar sejak 15 tahun lalu sementara keluarganya terlibat dalam penanaman orkid.

Mengakui beliau membazirkan dua hari berkempen, Seng Yee, 41 berkata, beliau tidak gusar dengan perkara itu kerana manifesto yang dibawanya mewakili suara pekebun di Cameron Highlands dan akan mendekati pengundi dengan kaedah ‘pintu ke pintu’.

Antara isu yang akan dibawa ialah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan ekonomi Orang Asli, katanya yang “patuh” dengan arahan jurugambar dalam beraksi di hadapan kamera.

Seng Yee turut mengakui faktor kewangan akan mengekang pergerakannya dan hanya berharap pada sumbangan rakan-rakan untuk membiayai kempen.

“Ya, saya kekurangan kewangan tapi masih OK. Saya nampak beberapa parti (politik) telah pacak banyak bendera. Tapi bagi saya, ia nampak membazir jadi saya tak akan buat macam itu, lagipun saya tidak cukup duit nak berbuat sedemikian,” katanya yang memilih simbol cangkul.

Artikel Berkaitan:

Selain Seng Yee, PRK Parlimen Cameron Highlands turut ditandingi PH menerusi Timbalan pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran dan BN yang mempertaruhkan bekas pegawai polis Ramli Mohd Nor serta seorang lagi calon Bebas Sallehuddin Ab Talib.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 22 Januari ini sebagai hari mengundi awal dan pengundian pula pada 26 Januari. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!