Iskandar kongsi pengalaman berdepan Peristiwa Kawalan Pergerakan
SHAH ALAM - Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad mengimbau kembali kenangannya ketika berdepan situasi Perintah Kawalan Pergerakan sewaktu peristiwa 13 Mei 1969.
Menerusi kemas kini di Facebook rasminya, Iskandar berkata, ketika itu beliau berumur lapan tahun dan sedang menuntut di sebuah sekolah sekitar Seksyen 14, Petaling Jaya.
Katanya, perintah berkurung atau 'curfew' pada waktu itu lebih teruk kerana orang ramai tidak dibenarkan langsung keluar dari rumah masing-masing.
"(Peristiwa itu) bermula pada petang 13 Mei tetapi dilonggarkan sedikit pagi 14 Mei untuk orang ramai membeli makanan dan sebagainya. Bagi mereka yang pernah melalui 'curfew', kawalan pergerakan (kali) ini agak ringan.
"Masih ada makanan dijual di pasar dan kedai. Tida tentera atau polis berkawal di jalan-jalan," katanya.
Perkongsian itu susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini bermula hari ini hingga 31 Mac depan.
Perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Dalam pada itu, Iskandar berkata, peristiwa itu juga menyebabkan bapanya terpaksa diiringi anggota polis ketika pulang dari kerja.
" Saya masih ingat pada pagi 14 Mei, orang menjual sayur kangkung yang dipungut di lombong di taman perumahan saya.
"Ada sesiapa ada pengalaman yang sama?" tanya Iskandar di status Facebooknya itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!