9 individu didakwa perdagang tiga wanita tempatan

Kompleks Mahkamah Pulau Pinang. - Foto Sumber Internet
Kompleks Mahkamah Pulau Pinang. - Foto Sumber Internet
A
A
A

GEORGETOWN - Sembilan individu termasuk enam wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita tempatan untuk eksploitasi seks di sebuah rumah di Batu Maung, dekat sini, sejak 2017.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Tamil di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap yang bertindak sebagai hakim.

Tertuduh lelaki ialah K Kumaran, 40, P Pumugam, 33, dan E Eswaran, 22 manakala tertuduh wanita terdiri daripada isteri Kumaran, D Dhanam, 36; S SRajesvari, 35; B Kavitah, 34; adik beradik T Sarmilah, 24 dan Kausalya, 22 serta ibu mertua Kumaran, S Leelavathy, 48.

Kesemua tertuduh didakwa secara bersama dengan seorang lagi suspek yang masih bebas memperdagangkan tiga wanita berusia antara 24 dan 37 tahun bagi maksud pelacuran di sebuah rumah mewah, di Jalan Southbay 7, Residence @ Southbay, Batu Maung, dekat sini, antara Jun 2017 hingga Januari lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aimy Zainul Anwar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh atas alasan mereka terbabit dalam sindiket pemerdagangan pelacuran selain bimbang mereka akan mengganggu mangsa.

Peguam Dr Shamsher Singh Thind, yang mewakili kesemua tertuduh, memohon jaminan atas alasan semua anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis selain Kumaran yang merupakan pemilik kedai besi buruk perlu menanggung lapan tertuduh itu serta 11 orang anak di mana tiga daripadanya masih bayi.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Mei depan untuk pengurusan kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!