Lima inisiatif kurangkan beban guru
SERDANG – Kementerian Pendidikan menggariskan lima inisiatif dan sembilan intervensi bagi mengurangkan beban tugas guru, yang mula dilaksanakan Januari tahun ini.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kesemua inisiatif itu diperkenalkan memastikan proses pengajaran yang mementingkan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan bukannya menjadikan pekerjaan mulia itu sesuatu yang menyeksa dan membebankan.
"Kementerian akan berusaha mengembalikan guru kepada tugas mendidik serta mengajar dengan memansuhkan tugas-tugas perkeranian yang didapati mengganggu tugas utama guru sebelum ini," katanya ketika menyampaikan amanat “Pendidikan Untuk Semua, Tanggungjawab Semua” di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
[ ARTIKEL BERKAITAN: Maszlee garis tiga hala tuju martabat pendidikan ]
Maszlee berkata inisiatif pertama ialah memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi melalui tiga intervensi iaitu Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan pentaksiran bilik darjah (PBD).
Bagi pengurusan SPBT, kementerian menambah baik proses perekodan yang mana guru tidak perlu menulis perolehan, pengurangan bilangan fail dan pengisian maklumat secara digital (softcopy), katanya.
Bagi pengurusan fail panitia, pihak sekolah diberi autonomi menentukan bilangan fail panitia dan dokumen akan disimpan sama ada salinan digital atau salinan bercetak (hardcopy) berdasarkan keperluan dan kesesuaian sekolah, katanya.
“Bagi pelaporan PBD, cetakan hanya perlu dilakukan berdasarkan keperluan sekolah. Panduan pelaksanaan PBD juga telah dimuat naik ke laman sesawang Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK),” katanya.
Maszlee berkata inisiatif kedua adalah berkenaan pengurusan data dan sistem online yang akan dilakukan melalui dua intervensi, iaitu segala pengumpulan dan perolehan data sekolah, guru dan murid perlu diambil dari sumber data sedia ada dalam sistem-sistem yang diperaku oleh semua pihak di kementerian.
Intervensi itu juga melibatkan sistem kehadiran murid dalam talian digunakan sepenuhnya, yang bermakna guru tidak lagi perlu mengisi buku jadual kedatangan murid, manakala bagi sekolah yang tiada capaian internet, kehadiran murid boleh direkod secara manual dalam jadual kedatangan murid, katanya.
Susulan pemansuhan Peperiksaan Tahap 1, Maszlee berkata inisiatif ketiga dalam mengurangkan beban tugas guru ialah sekolah dibenarkan merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang sesuai dengan keperluan murid.
Beliau berkata sekolah perlu mengenal pasti murid Tahap 1 yang mengalami kesukaran menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta menyediakan intervensi atau pemulihan yang bersesuaian di peringkat sekolah.
Maszlee berkata inisiatif keempat adalah berkaitan penyeragaman borang dan proses pemantauan yang dilaksanakan melibatkan dua intervensi bagi memastikan guru tidak lagi terbeban mengisi borang kebersihan, keselamatan dan penarafan kantin.
Melaluinya, semua pengusaha kantin dikehendaki mengisi Borang Penarafan Kendiri Kantin dan pengesahan dibuat Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) sahaja, manakala Borang Prestasi Perkhidmatan Kontraktor Pembersihan dan Keselamatan diuruskan kontraktor dan akan dikawal selia serta disahkan Pengetua atau Guru Besar atau Penolong Kanan sahaja, katanya.
Maszlee berkata inisiatif kelima meliputi penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah di mana intervensi yang akan dilaksanakan bakal memastikan pelbagai jawatankuasa yang tidak berkaitan dengan tugas mendidik dimansuhkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!