UMS benarkan pelajar berada di kolej kediaman
KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil pendekatan membenarkan para pelajarnya untuk terus berada di kolej kediaman masing-masing sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 31 Mac.
Menurut kenyataan UMS di laman Facebooknya, pelajar yang berhasrat berbuat demikian diminta memaklumkan pengurusan kolej kediaman bagi tujuan pemantauan selain perlu mematuhi langkah-langkah kesihatan dan arahan seperti dikeluarkan pihak berkuasa universiti dari semasa ke semasa.
"Semua perkhidmatan kafeteria di UMS dimestikan beroperasi tetapi hanya untuk bawa pulang atau melalui perkhidmatan penghantaran makanan sahaja," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, UMS berkata, pelajar juga dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing tetapi perlu memaklumkan pihak pengurusan kolej kediaman masing-masing terlebih dahulu bagi tujuan pemantauan.
Sebelum kembali semula ke kampus, pelajar dinasihatkan menjalani tapisan kesihatan bagi memastikan mereka berada dalam kondisi baik sebelum dibenarkan pulang ke kolej kediaman masing-masing bagi membendung penularan wabak Covid-19, menurut kenyataan itu.
"Pelajar perlu merujuk ke Pusat Rawatan Warga UMS dengan segera jika mempunyai gejala saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari selepas kembali ke kampus," katanya.
Dalam pada itu, operasi Pusat Informasi Pelawat EcoCampus UMS digantung serta-merta dan semua pelancong tempatan serta asing tidak dibenarkan melawat kampus universiti tersebut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!