PH cadang kerajaan hadkan pembelian barang keperluan asas

Seorang wanita memakai penutup hidung dan mulut ketika membeli barangan keperluan harian sebagai langkah pencegahan susulan penularan COVID-19 di Pasaraya Mydin Ayer Keroh. -Foto Bernama
Seorang wanita memakai penutup hidung dan mulut ketika membeli barangan keperluan harian sebagai langkah pencegahan susulan penularan COVID-19 di Pasaraya Mydin Ayer Keroh. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kerajaan menimbang langkah mengehadkan pembelian barang keperluan asas di pasar raya bagi menjamin kuantiti mencukupi untuk semua yang memerlukan.

Menurut kenyataan Majlis Setiausaha PH hari ini, langkah itu boleh dikuatkuasakan dengan pasar raya mengenakan had pembelian seperti kempen jualan murah bagi sesuatu produk.

Selain itu, kerajaan boleh menguatkuasakan had pembelian dengan kuasa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di bawah Akta Kawalan Bekalan Makanan 1961, menurut kenyataan tersebut.

"Majlis Setiausaha PH mengambil maklum isu barangan keperluan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan terutama berkaitan pembelian secara panik, pencatutan serta stok barangan keperluan asas di pasar raya.

"PH faham akan kegusaran dan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini lebih-lebih lagi dalam suasana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang baru dimulakan," katanya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan tidak boleh berlengah dalam melaksanakan had pembelian barangan keperluan asas demi menjamin keselamatan makanan bagi semua penduduk terutama sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!