Jangan masuk Thailand melalui pangkalan haram
RANTAU PANJANG - Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana penduduk di sempadan Malaysia- Thailand yang keluar masuk ke negara jiran menggunakan pangkalan haram sungai Golok.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, penduduk khususnya di Rantau Panjang diingatkan supaya tidak keluar masuk ke negara jiran menggunakan pangkalan haram sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
"Mereka yang melanggar arahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen dan Perintah Kawalan Pergerakan.
"Selain itu, kita juga akan guna pakai semua peraturan-peraturan sedia ada ke atas mereka yang ingkar dengan arahan tersebut," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Terdahulu beliau bersama anggota polis melakukan tinjauan di pintu masuk ke Thailand berhampiran di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Hadir sama Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan, Superintanden Azhari Nusi.
Mohamad Roy berkata, berpandukan kepada Perintah Kawalan Pergerakan itu, warga tempatan ditegah untuk keluar dan masuk ke Thailand bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.
"Kita tahu masyarakat di sini (Rantau Panjang) mempunyai sanak-saudara di sebelah Thailand. Begitu juga dengan negara jiran.
"Jadi nasihat saya, duduk di rumah masing-masing dan jangan keluar sepanjang tempoh ini. Jangan guna pangkalan haram untuk keluar masuk," katanya.
Katanya, rakyat Thailand turut dihalang untuk masuk ke negara ini selaras dengan perintah itu.
"Bagaimanapun mereka (warga Thailand) hanya dibenarkan untuk pulang ke Thailand sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!