Covid-19: Batal kenduri kahwin!

Fatin Nabila Syahira menunjukkan kad jemputan majlis perkahwinan bersama pasangannya Saiful Nazleey Mohamed Salleh yang dijadualkan berlangsung esok.
Fatin Nabila Syahira menunjukkan kad jemputan majlis perkahwinan bersama pasangannya Saiful Nazleey Mohamed Salleh yang dijadualkan berlangsung esok.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Akur dengan perintah kerajaan selain tidak mahu mementingkan diri sendiri, sebuah keluarga di negeri ini terpaksa membatalkan majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung esok di Kampung Kubang Ikan, Chendering, di sini.

Pembatalan majlis kenduri yang dirancang bakal dihadiri lebih 1,600 jemputan dibuat susulan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai hari ini hingga 31 Mac.

Bapa pengantin, Alias Muhammad, 58, berkata, majlis akad nikah anak sulungnya, Fatin Nabila Syahira Alias, 26, bersama pasangan, Saiful Nazleey Mohamed Salleh, 43, tetap diteruskan tetapi hanya dibuat secara tertutup sahaja di dalam rumah sahaja.

Katanya, ia akan mengikut mengikut tatacara akad nikah dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) iaitu hanya lapan individu perlu ada semasa majlis berlangsung termasuk kedua-dua pengantin, jurunikah, seorang wali dan empat saksi.

"Memang sukar buat kami sekeluarga untuk membuat keputusan ini kerana persiapan sudah hampir siap 80 peratus dengan perbelanjaan untuk persiapan dibelanjakan lebih RM10,000 termasuk bayaran deposit kanopi dan sewa pelamin.

"Tetapi kami kena terima takdir yang sudah ditetapkan dan perlu reda dengan apa yang sudah berlaku hari ini demi kesejahteraan kita bersama, kami tidak boleh pentingkan diri sendiri.

"Jadi, kami sekeluarga reda dan bangga dengan keputusan tidak meneruskan majlis kenduri ini yang mana majlis rumah pengantin lelaki di Jalan Kamarudin, di sini, pada Sabtu ini juga dibatalkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Fatin Nabila Syahira bersama bapanya Alias melihat sebahagian daripada cenderahati yang akan diagihkan kepada tetamu pada hari majlis nanti
Fatin Nabila Syahira bersama bapanya Alias melihat sebahagian daripada cenderahati yang akan diagihkan kepada tetamu pada hari majlis nanti

Artikel Berkaitan:

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu berkata, keluarganya terpaksa membatalkan tempahan seperti daging, ayam serta santan dan lain-lain tempahan untuk persiapan majlis nanti.

"Alhamdulillah, penjual faham dengan situasi ini tetapi kami terpaksa juga tanggung kerugian lebih RM10,000 kerana duit yang dibelanjakan itu memang tidak akan dipulangkan semula.

"Cenderahati yang akan diagihkan kepada tetamu nanti juga iaitu berjumlah 1,300 biji baulu sudah tersedia, tetapi kami bercadang akan mengagihkan kesemuanya kepada jiran tetangga dan bagi tetamu yang sudah dijemput, kami akan pastikan mereka akan dapat cenderahati ini walau dalam apa jua cara penghantaran dibuat," katanya.

Sementara itu, pengantin perempuan, Fatin Nabila Syahira berkata, dia reda dengan keputusan diambil keluarganya meskipun sudah membuat persiapan sejak Disember tahun lepas lagi kerana yakin pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini.

"Memang diakui sedikit kecewa kerana selepas bertunang Januari tahun lepas, saya mula membuat persiapan untuk majlis ini kerana dalam masa sama, perlu menjaga ibu, Ida Wati Jaafar yang sakit kanser payudara tiga tahun lalu.

"Kami memang tidak ada sebarang pelan lain sekiranya berlaku apa-apa pada majlis yang dirancang ini disebabkan itulah, kami agak kelam kabut sedikit untuk mengatur semula program baharu.

"Tapi, saya bersyukur dan bertuah kerana mempunyai keluarga yang sangat memahami dan sering memberi semangat agar saya dapat terus berfikir secara positif," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!