Koordinasi, penyampaian komunikasi betul bantu kawal Covid-19

Suasana di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur malam tadi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan bermula hari ini.
Suasana di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur malam tadi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan bermula hari ini.
A
A
A

AMAT menyedihkan apabila kita melihat masih ada antara kita yang tidak mendengar Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tempoh hari. Ramai yang telah membanjiri balai-balai polis dan juga di perhentian-perhentian bas untuk balik kampung seolah krisis ini bertukar menjadi mood raya.

Masih ada yang tidak faham terma ‘stay indoor’ untuk elak wabak ini berjangkit. Walaupun seseorang mengambil langkah-langkah berjaga ini, masih ada tidak faham bahawa sesiapa yang melanggar perintah ini boleh didakwa di bawah Akta 342 (Seksyen 22), dan boleh dihukum (Seksyen 24) seperti penjara (tidak lebih 2 tahun) atau denda, atau kedua-duanya sekali; bagi kesalahan kedua dan selanjutnya penjara (tidak lebih 5 tahun) atau denda, atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan yang berterusan ditambah denda tidak lebih RM200 untuk setiap hari kesalahan dilakukan.

Namun, ia tidak memberikan impak yang jelas kepada rakyat kita. Di manakah harus kita perbaiki?

Walaupun kita faham bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekarang mengetuai isu Covid-19 dan sebarang isu berhubung pengurusan penyakit berjangkit ini haruslah dituju kepada MKN yang diketuai Perdana Menteri, namun di dalam krisis penyakit berjangkit ini perlu beberapa strategi yang lebih kukuh.

Pertama, perlu ada koordinasi yang rapat dan update perkembangan terkini di antara MKN dan kementerian-kementerian serta stakeholder lain apakah akibat yang akan berlaku disebabkan Perintah Kawalan Pegerakan. Memang diuar-uarkan maklumat berhubung definisi Perintah Kawalan Pergerakan di dalam media sosial dan apakah yang tidak harus dilakukan, namun maklumat berkenaan masih tidak cukup kerana ia membabitkan impak kepada pelajar IPTA yang terbalik-balik, serta arahan kepada rakyat biasa bahawa mereka tidak harus balik kampung, serta arahan kepada ahli-ahli kerajaan.

Bagaimana koordinasi MKN dengan kerajaan-kerajaan negeri kerana ramai yang telah balik kampung dan kemungkinan wabak ini akan menular di negeri-negeri lain. Adakah saringan dibuat? Tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh kerajaan Persekutuan malah kerajaan-kerajaan negeri harus bertindak menerusi agensi-agensi negeri dan JKKK. Apakah tahap persediaan mereka?

Kedua, Pusat Komunikasi Korporat MKN harus memainkan peranan yang penting di mana sebarang maklumat rasmi berhubung wabak ini harus datang dari satu sumber sahaja dan tidak boleh semua orang mengeluarkan kenyataan masing-masing di media sosial. Ini akan mengakibatkan keresahan dan hilang kepercayaan rakyat terhadap kerajaan di dalam memainkan peranan untuk memantau penyakit ini.

Perlunya koordinasi yang kukuh dan penyampaian maklumat antara kesemua agensi ini dan hanya seorang yang menjadi wakil bercakap bagi pihak semua agensi ini di peringkat Persekutuan dan negeri.

Artikel Berkaitan:

Kita lihat dua tiga hari ini banyak pihak yang mengeluarkan kenyataan masing-masing. Pusat Komunikasi ini harus mengumpul semua update harian daripada semua pihak, PDRM, KPT dan siarkan maklumat secepat mungkin. Kita tidak mahu melihat insiden semalam apabila diberikan perintah kawalan pergerakan, ramai melihat ini sebagai peluang untuk balik kampung.

Ketiga, penggunaan platform media sosial yang maksimum untuk membanteras krisis penyakit berjangkit merebak. Hashtag terlalu popular untuk budaya politik di negara kita, mengapa tidak dimaksimumkan penggunaannya pada waktu ini seperti #malaysiastayindoor di Twitter dan Facebook memandangkan kita mempunyai lebih kurang 25 juta pengguna media sosial.

Cuba uar-uarkan supaya rakyat faham tentang betapa serius penyakit Covid-19 ini sekiranya tidak dibendung. Gunakan platform media sosial dan media perdana untuk salurkan maklumat di dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil supaya maklumat berhubung tahap keseriusan penyakit ini sampai kepada kesemua lapisan masyarakat yang berbilang kaum.

Pada masa yang sama, rakyat kita harus mempunyai kesedaran yang tinggi bertapa seriusnya penyakit ini. Kita sudah melihat bagaimana rakyat China dan Itali serta Iran ketika ini sedang sengsara sehingga rakyat mereka patuh dengan larangan kerajaan. Tetapi amat kesal melihat situasi di Malaysia di mana rakyat mengambil peluang ini untuk balik kampung sehingga pengumuman kawalan pergerakan ini dibuat di jalan-jalan kawasan perumahan supaya rakyat dengar dan mematuhi arahan.

Dalam detik kecemasan ini, janganlah kita menuding jari-jari terhadap mana-mana pihak. Komitmen dan tanggungjawab membanteras penyakit berjangkit ini harus bangkit bersama-sama tidak kira kerajaan, agensi kerajaan negeri, pasukan beruniform dan rakyat.

* Prof Madya Dr Sara Chinnasamy ialah Penganalisis Politik dan Media Sosial Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!