Jangan kunjungi kawasan tumpuan, sentiasa berada di rumah!
SHAH ALAM – Polis Selangor menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan mengikut Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak mengunjungi kawasan tumpuan, sentiasa berada di rumah dalam tempoh yang diwartakan kecuali hal melibatkan kecemasan.
“Orang ramai juga perlu menghentikan aktiviti sosial dan pergerakan di luar rumah yang tidak perlu serta tidak menghadiri mana-mana majlis atau perhimpunan. Orang ramai tidak perlu berasa cemas atau panik atas musibah yang melanda Negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai berita yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial sehingga mencetuskan kegusaran di kalangan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!