Malaysia jamin mudahkan aliran bekalan keperluan ke Singapura

Azmin - Foto Sumber Internet
Azmin - Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia akan berusaha sebaik mungkin untuk memudahkan aliran pergerakan bekalan dan barangan keperluan seperti makanan segar dan farmaseutikal ke Singapura.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, aliran pergerakan itu akan dilakukan mengikut ketetapan protokol kesihatan.

Azmin dalam catatan di laman Twitter rasminya hari ini berkata, beliau bercakap dengan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Chan Chun Sing untuk berbincang mengenai hala tuju masa depan dalam menangani cabaran yang dihadapi akibat pandemik Covid-19.

“Memberi jaminan kepada menteri Chan bahawa Malaysia akan berusaha sebaik mungkin untuk memudahkan aliran pergerakan bekalan dan barangan keperluan seperti makanan segar dan farmaseutikal secara teliti mengikut ketetapan protokol kesihatan,” kata beliau di laman Twitter @AzminAli.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan Malaysia akan melaksanakan langkah-langkah strategik bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan pekerja untuk kebaikan bersama.

Jaminan itu diberikan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara mulai hari ini sehingga 31 Mac untuk memerangi Covid-19.

Sementara itu, dalam satu kenyataan akhbar, Azmin berkata, beberapa siri libat urus dengan pemegang taruh industri telah diadakan dengan mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan.

Ia bertujuan mendapatkan pandangan terhadap pelaksanaan strategi kerajaan untuk memastikan keperluan rakyat kepada perkhidmatan asas tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan mengurangkan gangguan rantaian bekalan, khususnya bagi makanan dan barang keperluan.

Artikel Berkaitan:

“Kami sangat menghargai pandangan yang diberikan oleh pemain industri yang memahami kewajaran melaksanakan perintah ini dalam suasana kritikal sekarang dan bersedia untuk membantu menjayakan usaha menjamin rantaian bekalan dalam sektor pembuatan mencukupi,” katanya.

Azmin berkata, hasil daripada siri libat urus ini, kerajaan dapat mempertimbang dan memberikan kelulusan beroperasi kepada pihak industri pembuatan yang mengeluarkan produk-produk yang ditakrifkan sebagai kritikal.

"Seperti dijelaskan dalam kenyataan media oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, kelulusan ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat tertentu bagi memastikan objektif utama pengawalan penularan wabak Covid-19 tercapai dengan sebaiknya.

“Garis panduan kesihatan yang ketat termasuk amalan jarak sosial dan proses sanitasi perlu diamalkan bagi pekerja dalam sektor-sektor pembuatan yang telah diluluskan untuk beroperasi di dalam tempoh kawalan ini.

“Kementerian akan menyusul dengan pihak industri untuk memastikan perlaksanaan yang efektif dan berkesan,” kata Azmin.

MKN dalam kenyataan hari ini berkata antara sektor pembuatan kritikal yang diluluskan beroperasi tertakluk kepada syarat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri adalah produk makanan dan minuman termasuk barang-barang yang diimport, pertanian dan perikanan termasuk import, produk barangan rumah, peralatan perlindungan peribadi dan farmaseutikal.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!