Tubuh jawatankuasa sebagai pemudah cara pembinaan SJKT
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor berhasrat menubuhkan satu jawatankuasa bagi memudah cara mencari penyelesaian sebarang perkara berbangkit mengenai pembinaan sekolah Tamil di negeri ini.
Exco Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Dr S Ramakrishnan berkata, jawatankuasa dijangka diwujudkan dalam masa terdekat itu adalah susulan beberapa isu dan masalah yang timbul membabitkan soal pembinaan sekolah Tamil di negeri ini.
“Saya nampak ada beberapa kelemahan dalam sistem. Tidak ada satu tempat untuk mereka duduk dan bincangkan masalah, tidak ada. Semua kerja bergerak secara berasingan.
“Ada masalah, pihak berkaitan lain tidak tahu. Sebab itu timbul masalah secara berterusan. Kita kena buat satu jawatankuasa. Bila ada masalah, ia membawa semua pihak ke satu meja untuk berbincang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di bangunan asal Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tebrau di sini, hari ini.
Ramakrishnan berkata, sebelum jawatankuasa tersebut dibentuk dan diwujudkan, beliau akan mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan, Aminolhuda Hassan untuk menzahirkan hasrat itu.
Sementara itu, menurutnya beliau memaklumkan keseluruhan sekolah Tamil yang menerima bangunan baharu dan bina baharu di negeri ini adalah sebanyak lima buah sekolah.
“SJKT Ladang Tebrau menerima bangunan baru dan sudah selesai. Ada lagi tiga buah sekolah (bangunan baru) iaitu SJKT Tun Dr Ismail Simpang Renggam, SJKT Ladang Nyior dan SJKT Ladang Kulai Oil Palm. Manakala SJKT di Seri Alam dibina baru.
“SJKT Tun Dr Ismail saya ingat boleh selesai cepat. Sekolah seterusnya adalah SJKT Ladang Nyior. Dua sekolah ini boleh selesai tidak lama lagi. Cuma, SJKT Ladang Kulai Oil Palm akan mengambil sedikit masa. SJKT Seri Alam pula kini dalam pembinaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!