Jangan kongsi cerita tanpa sumber berita sahih
MUNGKIN ada yang pernah dengar atau mungkin tidak pernah dengar atau mungkin juga ada yang ‘buat-buat’ tak dengar dengan sebaris ayat ini yang berbunyi: “Tidak pasti jangan kongsi.”
Jika cerita itu benar disertakan sekali sumber berita yang sahih, tak salah untuk dikongsi. Tapi sayangnya, masih ada yang berlumba-lumba mahu menjadi ‘nombor satu’ – berkongsi berita yang belum pasti kebenarannya.
Dapat saja berita yang viral, maka mulalah masing-masing masuk gear. Sama ada berita itu benar atau palsu, itu soal kedua, paling penting berita itu sudah dikongsi. Bak kata sahabat Merak Jalanan, ‘apa-apa jalan dulu’.
Masing-masing sibuk dengan telefon pintar di tangan. Kalau boleh mereka tak mahu ketinggalan dengan sebarang berita panas. Lebih-lebih lagi berita yang tengah viral dengan isu-isu semasa yang sedang berlaku.
Lepas reda sedikit cerita hal polemik politik negara, berita wabak koronavirus (Covid-19) kembali menduduki carta teratas ‘Jabatan Netizen Malaysia’. Sejak awal minggu ini, cerita-cerita Covid-19 mula menghiasi laman-laman media sosial.
Malangnya dalam masing-masing sibuk menyalurkan berita Covid-19, ada juga ‘tangan gatal’ berkongsi berita palsu. Contohnya, berita dengan tanda pagar #MalaysiaLockDown yang mula tular sejak Ahad lalu.
Daripada situasi yang dilihat agak tenang, tiba-tiba suasana panik mula tercetus. Masing-masing membuat pembelian panik kononnya sebagai bekalan pada ‘masa depan’.
Malah, ada yang panik tengok wang baki di tangan. Maklumlah ada yang belum terima gaji lagi, bagaimana nak penuhkan kabinet dapur dengan segala macam produk makanan.
Satu saja nasihat Merak Jalanan kepada mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab itu: cukup-cukuplah dengan tugas anda. Jangan sampai nanti, anda sendiri ‘terkena’ gara-gara berita tidak benar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!