Mentaliti dalam pembinaan negara

A
A
A

DUNIA dikejutkan dengan wabak Covid-19 semenjak pertengahan Disember 2019. Kepanikan makin meningkat pada tahun 2020 apabila virus berkenaan mula tersebar ke negara-negara lain selain China.

Jika suatu masa dahulu, tahun 2020 sangat kita nantikan bagi melihat Wawasan 2020 menjadi kenyataan.

Namun, melihat kepada realiti yang berlaku di Malaysia pada hari ini, tahun 2020 ini tidak akan dilupai oleh mana-mana orang yang pernah hidup pada tahun ini. Ia pasti tercatat dalam sejarah hidup masing-masing yang akan diriwayatkan daripada satu generasi ke satu generasi yang akan datang selagi kiamat belum berlaku.

Suku pertama tahun 2020 penuh dengan kegelisahan, ketakutan, ketidakstabilan dan yang sewaktu dengannya. Saya berani mengatakan semua itu adalah berpunca daripada fitnah dan berita palsu yang sentiasa tular.

Dalam tempoh 50 tahun lebih saya hidup di dunia ini, saya tidak merasai fitnah yang paling dahsyat melainkan pada tahun 2020.

Membelek kembali sembilan matlamat utama Wawasan 2020, saya terasa sangat sebak kerana pada pandangan saya, satu pun daripada Wawasan 2020 tidak tercapai. Kesemua sembilan senarai tersebut seolah-olah terjadi sebaliknya.

Mengakui ketidakmungkinan untuk mencapai Wawasan 2020 yang digarap pada tahun 1991 itu, dikeluarkan pula Wawasan 2030 pada tahun 2019. Belum sempat ke mana pun, kerajaan yang melancarkan Wawasan 2030 tiba-tiba tumbang.

Segala dasar kerajaan yang ditetapkan sangat cantik dan baik. Siapa yang tidak mahu sebuah negara yang aman dan harmoni. Siapa yang tidak mahu sebuah negara yang semua rakyatnya saling berkasih sayang dan hormat-menghormati.

Artikel Berkaitan:

Siapa yang tidak mahu negara Malaysia maju dalam semua bidang. Alangkah bahagianya jika pada tahun 2020 ini kesemuanya menjadi realiti seperti yang dicita-citakan semenjak 1991 itu.

Namun, semuanya macam masih jauh untuk dicapai. Jauh kerana kebanyakan masyarakat Malaysia terlalu pentingkan diri, suka menabur fitnah dan berita palsu.

Melihat kepada realiti yang berlaku, saya tertanya-tanya adakah mereka suka kita hidup dalam situasi sekarang; saling bermusuhan, saling menabur fitnah dan berita palsu serta pentingkan diri sendiri?

Budaya suka menyebar berita palsu makin membarah dalam masyarakat Malaysia. Makin bertambah sedih apabila ramai yang mudah percaya dengan perkara dan berita palsu.

Dalam situasi negara tengah gawat dengan Covid-19, tersebar berita yang macam-macam. Antaranya tular tentang kerajaan akan keluarkan perintah berkurung. Berita palsu ini menyebabkan berlakunya pembelian panik. Masing-masing mula menunjukkan sikap pentingkan diri sendiri.

Apabila Perdana Menteri umumkan arahan sebenar, ternyata bahawa sekatan itu tidaklah menghalang kita untuk dapatkan bekalan makanan di premis-premis yang dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk dibuka.

Tindakan tidak bijak kebanyakan masyarakat Malaysia ini sebenarnya membawa keburukan kepada semua. Mana tidak, jika permintaan tinggi, bukankah harga akan melambung naik? Cerdikkah kita sebenarnya?

Bilakah kita akan beralih kepada mentaliti sebuah negara yang maju? Sebuah negara hanya akan jadi maju jika rakyatnya mempunyai pemikiran kelas tinggi. Sebuah negara akan maju bila rakyatnya cintakan kedamaian dan keharmonian. Sebuah negara akan maju jika rakyatnya matang dalam menerima sesuatu berita.

Jadi, bilakah kita hendak berubah? Negara kita tidak akan berubah jika rakyat masih tidak mahu berubah.

Akhir kalam, mulakan dengan diri kita untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik agar Malaysia mampu menjadi negara yang hebat dan dihormati di mata dunia.

Masyarakat di Malaysia hari ini terlalu pentingkan diri, suka menabur fitnah dan berita palsu.”

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan syariah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!