Koronavirus baharu boleh bertahan beberapa hari atas permukaan
WASHINGTON - Koronavirus (Covid-19) didakwa boleh bertahan di atas beberapa permukaan selama beberapa hari atau di udara selama beberapa jam, menurut kajian diterbitkan menerusi New England Journal of Medicine (NEJM) semalam.
Saintis dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mendapati virus yang mempunyai tahap keupayaannya apabila berada di luar tubuh manusia adalah sama seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).
"Ia bermakna penyebaran antara individu tidak mempunyai simptom adalah lebih berisiko tinggi. Koronavirus baharu itu dikesan sehingga empat jam pada permukaan tembaga dan dua hingga tiga hari pada permukaan plastik dan keluli tahan karat manakala sehingga 24 jam pada permukaan kadbod," jelas laporan itu lagi.
Pasukan terbabit turut menggunakan penebula untuk simulasi individu batuk atau bersin yang mendapati virus itu menjadi aerosol yang bermakna zarahnya tergantung di udara dan boleh dikesan selama hampir tiga jam.
Sebelum ini, virus tersebut didakwa disebarkan secara meluas melalui titisan pernafasan yang bertahan selama beberapa saat selepas individu batuk atau bersin. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!