Tiada lagi pembelian panik di pasar raya
SEREMBAN - Aktiviti pembelian panik di pasar raya seluruh negeri termasuk di daerah ini pada dua hari lalu tidak lagi berlaku setakat jam 1 tengah hari tadi.
Tinjauan Sinar Harian di dua pasar raya di daerah ini mendapati orang ramai tidak lagi membeli dalam keadaan tidak terkawal dan tidak kelihatan troli pelanggan penuh dengan barang keperluan.
Malah orang ramai dilihat lebih tenang membeli-belah barangan keperluan dan pelanggan tidak lagi perlu menunggu lama untuk membuat pembayaran di kaunter.
Seorang pekerja pasar raya yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 24, berkata, keadaan itu mula terkawal sejak malam tadi kerana orang ramai sudah membuat pembelian panik pada Isnin lalu.
"Hari Isnin lepas takut tengok orang beli barang keadaan dia macam kita kena perintah berkurung. Masing-masing semuanya troli penuh luar biasa.
"Kami pun tak menang tangan nak kena bawa masuk stok sebab rak makanan banyak yang kosong. Malam tadi barulah lega sikit walaupun orang tetap ramai," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, suasana itu lebih sibuk berbanding ketika orang ramai membeli barangan pada musim perayaan.
Bagaimanapun, kehadiran pengunjung pada hari ini sudah kembali normal.
Pekerja yang mahu dikenali sebagai Nisya, 27, pula melahirkan rasa lega apabila melihat kehadiran pengunjung di pasar raya tempatnya bekerja sejak dibuka jam 8 pagi tadi kembali normal.
"Setakat jam 12 tengah hari ini tengok keadaan macam biasa, tapi tak tahulah petang nanti.
"Kawan saya cakap malam tadi sampai jam 1 pagi orang masih menunggu giliran di kaunter bayaran. Saya harap keadaan kembali tenang," katanya.
Sementara itu pengunjung, Normah Ismail, 51, berkata, dia membuat keputusan untuk membeli barangan makanan pada hari ini kerana tidak mahu bersesak-sesak.
Tambahan pula katanya, kerajaan sudah maklumkan yang pasar raya menjual barangan makanan dan keperluan tidak akan ditutup.
"Saya pun hanya beli barang mana yang perlu saja. Meskipun kita berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, tapi kita masih dibenarkan keluar beli barang makanan.
"Jadi kita tak perlu panik. Nampaknya hari ini sudah terkawal dan paling penting kita perlu ambil langkah berjaga-jaga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!