PAUiTM gesa kerajaan bantu peniaga pasar malam
KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) menggesa supaya kerajaan membantu peniaga kecil terutama pasar malam untuk meringankan bebanan mereka kerana terpaksa menghentikan operasi selama dua minggu.
Pengerusi Hal Ehwal Usahawan (PAUiTM), Ahmad Muzakir Hamid berkata, kerajaan perlu menitik beratkan isu itu memandangkan golongan ini di antara mereka yang membantu menjadi pemangkin ekonomi negara.
"Penjaja dan peniaga pasar malam berdepan kerugian agak besar kerana mereka kehilangan sumber pendapatan setelah mendapat arahan untuk tutup.
"Ia akan menjejaskan pendapatan peniaga yang mempunyai komitmen tinggi. Ada di antara mereka bertanggungjawab membayar ganti rugi perniagaan dan stok barang serta bahan mentah mereka yang mungkin nilaian ribuan ringgit.
"Mungkin kerajaan boleh memberi bantuan khas kepada mereka dengan nilai yang bersesuaian. Ada di antara yang mereka berniaga setiap hari dan setiap malam, ada yang berniaga hanya tiga kali seminggu," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, kerajaan perlu melihat bukan sekadar bantuan 'one off', mungkin jika berpanjangan bantuan bulanan boleh dilakukan.
Malah, pihak bank juga perlu memberi peluang untuk memudahkan pinjaman khas dengan mudah lulus tanpa syarat yang ketat seperti biasa.
"Semua bank juga perlu melihat pinjaman perumahan, peribadi dan kenderaan boleh untuk menangguh tempoh bayaran selama enam bulan bukan atas satu-satu sektor sahaja seperti mana ada sebuah bank yang menyatakan hanya sektor pelancongan sahaja yang dibenarkan berbuat demikian atas pinjaman perumahan dan kenderaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!