Penganggur ditipu hampir RM60,000
KUANTAN - Seorang penganggur berputih mata apabila kerugian RM59,709.60 akibat ditipu oleh seorang individu berhubung tawaran pelaburan Forex, Disember lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 22 tahun itu telah ditawarkan untuk menyertai satu pelaburan mata wang asing atau Forex selepas berkenalan dengan suspek di laman sosial Facebook.
Menurutnya, mangsa berminat dengan tawaran itu setelah dijanjikan pulangan lumayan dan kurang risiko kerugian serta keuntungan terbabit diperoleh dalam mata wang USD.
"Mangsa berminat dan terus memasukan wang RM2,100 ke dalam akaun suspek sebagai modal permulaan pelaburan itu.
"Seterusnya, pada 18 hingga 23 Disember 2019, mangsa telah membuat lima transaksi membabitkan wang RM57,609.60 ke dalam akuan sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Wazir berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila tidak menerima sebarang pulangan selepas tiga bulan membuat pelaburan tersebut.
"Modus operandi yang dijalankan oleh suspek adalah memperdaya pengadu dengan menawarkan pelaburan forex.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!