Penyewa PA, PPR patut diberi sewa percuma sebulan
KUALA LUMPUR - Penyewa rumah Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) perlu diberikan sewa percuma selama sebulan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mencadangkan berkata, ia susulan pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bahawa DBKL tidak akan mengenakan sewa sebulan kepada perniagaan yang menyewa di premis DBKL dan bantuan bayaran gaji kepada 500 pekerja harian DBKL.
Menurutnya, langkah itu perlu diteruskan kepada golongan miskin bandar terutama yang menyewa di PA dan PPR.
"Saya difahamkan daripada 42,000 akaun penyewa rumah PPR dan PA, dianggar sekitar 50 peratus penyewa ini mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,000 sebulan.
"Saya percaya sekitar 20,000 keluarga ini sudah pasti menghadapi masalah pekerjaan dan pendapatan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan ini, dan pasti ramai di kalangan mereka yang meniaga tepi jalan, yang melakukan pelbagai kerja kecil yang mengasuh anak orang, dan lain-lain lagi terkesan dari segi kewangan, " kongsinya di status Facebooknya hari ini.
Katanya, DBKL berkemampuan menyalurkan peruntukan sewa percuma itu kepada keluarga yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan.
"Dianggarkan bantuan ini akan menelan belanja RM2.5 juta, atau 0.08 peratus bajet tahunan DBKL bagi 2020. Saya mohon bantuan tambahan ini disegerakan demi kebajikan golongan miskin bandar, " katanya.
Terdahulu, Annuar dalam satu temubual BicaraPolitikonomi Wilayah Persekutuan: Cabaran Semasa & Hala Tuju di RTM malam tadi memaklumkan kementeriannya mengambil beberapa langkah sebagai mengurangkan beban rakyat yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.
Ia termasuk pengecualian sewa selama sebulan kepada peniaga di premis DBKL, 500 pekerja harian DBKL dibayar gaji seperti biasa dan bantuan makanan bernilai RM300,000 kepada 806 peserta tabligh yang dikuarantin di Masjid Sri Petaling.
Annuar berkata, bantuan tersebut sebagai tanda keprihatinan kerajaan bagi memastikan misi bendung penularan Covid-19 membawa hasil seterusnya risiko kesihatan kepada rakyat dapat dikurangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!