Guru tawar jaga anak petugas perubatan secara percuma

Kamal menguar-arkan tawaran perkhidmatannya di Facebook.
Kamal menguar-arkan tawaran perkhidmatannya di Facebook.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang guru menawarkan perkhidmatan penjagaan anak kepada pasangan suami isteri yang berkhidmat sebagai doktor atau jururawat hospital di daerah ini secara percuma dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Usaha murni Kamal Ismail, 50, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Pantai di Seremban itu,dibuat atas rasa tanggungjawabnya terhadap petugas perubatan yang kini bekerja keras dalam usaha menangani penularan koronavirus (Covid-19).

“Mungkin mereka buntu fikirkan di mana mahu tempatkan anak-anak kerana ketika ini semua taska ditutup.

“Jadi saya nak beritahu kepada petugas perubatan, kamu berada di tempat kerja untuk kami, saya duduk di rumah untuk kamu dan untuk anak kamu. Jadi, jangan risau,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, tawaran itu terbuka hanya kepada suami isteri yang bertugas sebagai petugas perubatan tanpa mengira kaum dan ia hanya untuk anak-anak berusia empat tahun ke atas.

Katanya, ia terhad kepada lima kanak-kanak sahaja dan petugas perubatan boleh menghubunginya di talian 017-6150169 untuk maklumat lanjut.

“Isteri dan lima orang anak saya pun tiada masalah dan bersedia untuk sama-sama membantu. Lagi pun kita duduk rumah saja, bukan buat apa pun.

“Lagi baik jika anak-anak itu sudah bersekolah, setidaknya saya boleh rancang aktiviti atau kelas tambahan untuk mereka,” katanya yang telah memuat naik status berkenaan tawarannya itu di Facebook, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Kamal berkata, ada yang menganggap hasratnya itu sebagai satu gurauan dan sehingga hari ini masih belum ada yang serius untuk menghantar anak mereka.

"Saya tiada niat lain melainkan untuk membantu dan mengurangkan resah petugas perubatan yang bimbangkan penjagaan anak mereka.

“Mereka sudah bersusah payah untuk kita demi keselamatan semua... apa salahnya kita pula membantu mereka. Nak bantu cara lain saya tidak tahu. Jadi,saya tawarkan khidmat penjagaan,”katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!