Mufti Kelantan belum disahkan positif Covid-19
KOTA BHARU - Keluarga Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita mengenai mufti itu yang kini kritikal akibat jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).
Seorang anaknya yang tidak mahu dikenali berkata, setakat ini bapanya belum disahkan dijangkiti Covid-19 dan berada dalam keadaan stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.
Menurutnya, bapanya dikatakan mengalami deman dan sakit tekak selepas pulang dari Sarawak pada Khamis lalu sebelum membuat pemeriksaan di klinik pada Ahad dan diberikan cuti sakit.
“Ayah dirujuk ke hospital semalam selepas demamnya tidak baik. Keadaan ayah stabil dan kini berada di wad, bukan dirawat di Unit Rawatan Rapi sebagaimana ditularkan.
“Saya meminta sahabat semua jangan sebarkan berita yang tidak pasti sebab ayah masih normal serta stabil di wad HRPZ II,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Terdahulu tular di media sosial mendakwa Mufti Kelantan disahkan positif Covid-19 dan berada dalam keadaan kritikal di HRPZ II.
Dalam pada itu, anak lelakinya turut meminta seluruh warga Kelantan dan Malaysia mendoakan kesembuhan bapanya serta dijauhi wabak serta bala.
“Minta semua untuk menunaikan solat hajat dan doakan untuk ayah saya dan seluruh keluarga kami dalam aman dan sejahtera.
“Terima kasih kepada yang mendoakan kebaikan kepada keluarga kami dan rakyat Malaysia semua,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!