Perintah Kawalan Pergerakan: Melaka beri jaminan bekalan air cukup
MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka memberi jaminan bekalan air mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac depan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya telah mengarahkan Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri itu untuk mengenal pasti semua sumber air yang ada dan membentangkan dalam mesyuarat akan datang.
Menurutnya, ia penting agar sumber-sumber itu dapat digunakan dan kesiapsiagaan air kepada pengguna sekali gus menampung keperluan air penduduk.
"Barisan Exco meminta BKSA guna pakai keseluruhan sumber air yang terdapat di Melaka sebagai contoh di tasik dan kawasan golf.
"Ia termasuk menerima baik cadangan untuk membuat loji penapisan air laut dan 'Coastal Reservoir' bagi menangani masalah air supaya tidak berlaku lagi isu air di masa hadapan," katanya.
Jelasnya, setakat hari ini, paras air di Empangan Durian Tunggal mencatatkan bacaan di paras 14.5 peratus manakala paras air di Empangan Jus mencatatkan 22.6 peratus dan 63.9 peratus paras bacaan air di Empangan Asahan.
Sulaiman sebelum ini berkata, krisis bekalan air akan terus menjadi fokus utama selepas peralihan pentadbiran kerajaan negeri bagi bagi memastikan tidak timbul masalah air pada bulan Ramadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!