Besar harapan menteri Singapura terhadap Malaysia
SINGAPURA - Singapura berkongsi hasrat yang sama dengan Malaysia untuk membawa hubungan dua hala kembali ke landasan supaya pelbagai projek yang baik boleh menjadi kenyataan, kata Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan.
Pagi ini, Khaw bertemu dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berada di sini sejak semalam untuk lawatan dua hala walaupun penangguhan mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri (JMC) untuk Iskandar Malaysia, yang pada asalnya dijadualkan pada hari ini.
Selain Khaw, Azmin juga bertemu Menteri Pembangunan Negara Singapura, Lawrence Wong pagi ini dan Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan petang semalam untuk membincangkan pelbagai isu dua hala antara Malaysia dan Singapura.
Khaw menamakan Sistem Transit Rapid antara Woodlands dan Johor Bahru sebagai salah satu projek yang, jika direalisasikan, akan memberi faedah kepada rakyat kedua-dua negara.
"Begitu banyak masa yang dibazirkan oleh ramai pekerja Malaysia di Tambak Johor, setiap hari! Penduduk Woodlands juga ingin melihat kesesakan di Tambak Johor diatasi," katanya dalam kemaskini Facebook beliau yang diiringi dua foto dengan Mohamed Azmin.
Khaw menulis bahawa beliau dan Mohamed Azmin berbincang mengenai projek bersama negara, kereta api laju yang tertunda antara Kuala Lumpur dan Singapura.
"Beliau menyedari mengenai pertikaian yang tidak perlu di Tuas dan Seletar," tulisnya lagi.
Sementara itu, Wong, yang sepatutnya mempengerusikan JMC mengenai Iskandar Malaysia dengan Mohamed Azmin berkata, beliau gembira kerana Mohamed Azmin meneruskan lawatannya ke Singapura dan membincangkan cara untuk meletakkan hubungan dua hala di landasan.
"JMC telah bertemu lebih daripada 10 tahun dan telah menyelia banyak projek, termasuk pelaburan bersama dan promosi pelancongan," kata Wong dalam laman Facebooknya yang turut disertai dua foto dengan Mohamed Azmin.
"Projek-projek ini menguntungkan kedua-dua negara kerana ekonomi kita saling berkaitan dan sangat bergantung antara satu sama lain. Itulah sebabnya kami berdua inginkan hubungan dua hala yang baik dan stabil, supaya kedua-dua pihak dapat melakukan lebih banyak secara bersama untuk memacu pembangunan dan kejayaan masing-masing," tulisnya lagi.
Singapura dan Malaysia sedang dalam proses menyelesaikan perselisihan maritim di Tuas serta isu-isu ruang udara Pasir Gudang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!