Dataran Rekreasi Bukit Antarabangsa, Ukay Perdana tutup
![Penguatkuasa MPAJ menutup dua dataran rekreasi bagi sebarang aktiviti.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2020/03/19/654939.jpg)
AMPANG – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menggesa masyarakat agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini bagi membendung pandemik koronavirus (Covid-19) daripada terus merebak.
Ahli Majlis MPAJ, Suzana Shaharudin berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan sekumpulan individu melakukan aktiviti senaman tai chi di Dataran Rekreasi Bukit Antarabangsa semalam.
“Saya mohon penduduk bertanggungjawab dan mematuhi arahan kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
"Mereka boleh melakukan senaman di rumah. Jika mereka masih berdegil, kita akan menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Suzana berkata, pihaknya turut menerima panggilan daripada pegawai dari Balai Polis Ukay Perdana untuk meminta kerjasama MPAJ menutup taman permainan di kawasan itu.
“Polis telah mengarahkan sekumpulan kanak-kanak bersurai dari berkumpul di taman permainan di Dataran Rekreasi Ukay Perdana.
"Saya telah maklum kepada Penguatkuasa MPAJ untuk ‘seal’ kedua-dua dataran rekreasi berkenaan," katanya.
Suzana turut menggesa ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak dan tidak membenarkan anak-anak keluar dan berkumpul di tempat awam terutamanya taman permainan.
"Saya mohon kerjasama ibu bapa untuk memantau anak masing-masing agar mereka tidak berkumpul di kawasan taman permainan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!