KP baharu ikrar mahu Jabatan Imigresen jadi terbaik di dunia
PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Imigresen yang baharu Datuk Khairul Dzaimee Daud berikrar mahu menjadikan Jabatan Imigresen sebagai agensi penguatkuasaan antara terbaik di dunia dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
"Inilah visi dan misi saya untuk menjadikan Jabatan Imigresen, antara jabatan terbaik di dunia. Kita hampir mencapai matlamat itu. Pasport Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia tetapi ada beberapa perkara lain yang perlu diperkemaskan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Menurutnya, beliau juga mahu memperkemaskan sistem operasi imigresen sedia ada kepada sistem perkhidmatan yang merangkumi semua perkhidmatan jabatan itu secara dalam talian termasuk permohonan visa bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik serta memudahkan rakyat.
Tanpa mendedahkan maklumat terperinci, Khairul Dzaimee berkata sistem sedia ada yang berusia lebih 20 tahun akan dirombak semula secara berperingkat dalam tempoh empat tahun dan akan dimulakan tahun ini sebaik sahaja peruntukan diluluskan.
Selain itu, beliau berkata Jabatan Imigresen akan melakukan operasi besar-besaran secara bersepadu bagi memburu pendatang asing tanpa izin (Pati) dengan melibatkan semua agensi kerajaan lain. --
"Saya sendiri akan turun dalam beberapa operasi yang bakal dijalankan di pelbagai kawasan termasuk kampung-kampung dalam memperkasakan segala usaha dan tindakan supaya masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negara ini dapat diatasi segera," katanya.
Ditanya apakah perasaan beliau ketika diumumkan sebagai Ketua Pengarah Imigresen baharu, Khairul Dzaimee berkata beliau terkejut namun komited untuk melakukan terbaik agar misi dan visi dapat dicapai.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan pelantikan Khairul Dzaimee sebagai Ketua Pengarah Imigresen baharu. Khairul, 47, sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN.
Jawatan Ketua Pengarah Imigresen kosong setelah penyandangnya sebelum ini, Datuk Seri Mustafar Ali dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional berkuat kuasa 2 Januari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!