Bengkel kenderaan boleh beroperasi sehingga 3 petang: MPS
KUALA LUMPUR - Semua bengkel kenderaan yang berada di bawah seliaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dibenarkan beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 3 petang sepanjang Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Yang Dipertuanya, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, keputusan bagi penetapan waktu operasi itu dibuat menerusi mesyuarat pelarasan tindakan yang berlangsung hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan arahan terbaru kerajaan negeri, MPS juga akan turut menguatkuasakan rondaan dan mengarahkan peniaga tanpa premis untuk menghentikan operasi.
"Selain itu, semua kawasan rekreasi, taman awam dan taman permainan MPS juga akan ditutup kepada orang ramai untuk sebarang aktiviti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam hingga 31 Mac di seluruh negara.
Perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Dalam pada itu, Shamsul berkata, MPS turut menyeru orang ramai agar mematuhi arahan kerajaan untuk sentiasa berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
"Individu yang gagal mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!