Perintah Kawalan Pergerakan: JAIPs anjur program ‘Perlis Mengaji’


Tuanku Syed Faizuddin
Tuanku Syed Faizuddin
A
A
A

KANGAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) menganjurkan program ‘Perlis Mengaji’ melalui aplikasi Facebook sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Inisiatif itu diperkenankan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai usaha melestarikan pengajian ilmu susulan rakyat diarahkan menghadkan pergerakan selama dua minggu.

Titah baginda, tindakan JAIPs itu adalah alternatif untuk semua umat Islam memanfaatkan tempoh keberadaan di rumah masing-masing.

“Antara yang dilaksanakan bawah program 'Perlis Mengaji' setakat ini adalah kuliah agama secara atas talian pada waktu Subuh, duha, Zuhur dan Isyak setiap hari. Kelas Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs) untuk Tahun Satu dan Dua juga diadakan seminggu sekali secara atas talian,” titah baginda.

Baginda bertitah, turut diadakan tilawah al-Quran secara atas talian sehingga khatam 30 juzuk yang diadakan dua kali sehari pada jam 8.30 pagi dan 3 petang sepanjang 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan.

Sementara, Pengarah JAIPs, Dr Hazman Hassan berkata, untuk khatam 30 juzuk dalam masa 14 hari di rumah masing-masing, perancangan yang dilakukan adalah dengan menyemak bacaan melalui livestreaming 'Perlis Mengaji' berpandukan kepada tarikh ditetapkan.

“Contohnya kita bermula semalam sebanyak dua juzuk dan diteruskan setiap hari. Pada Jumaat ditambah kepada tiga juzuk, begitulah seterusnya sehingga selesai 30 juzuk,” katanya.

Menurutnya, setiap kali sesi diadakan, seorang guru al-Quran MAIPs akan memimpin bacaan mengikut juzuk ditetapkan menerusi siaran langsung di Facebook rasmi JAIPs dan Facebook Suara Sunnah.

Artikel Berkaitan:

“Penonton boleh mengikuti siaran ini di mana sahaja mereka berada dan bersama-sama membaca sehingga khatam 30 juzuk. Walaupun pergerakan dihadkan ketika kita berdepan ujian Covid-19, semangat untuk berilmu dan beramal di Perlis tidak luntur dan terus disemarakkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!