CEO Sime Darby positif Covid-19

Jeffri Salim Davidson
Jeffri Salim Davidson
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Sime Darby Bhd, Datuk Jeffri Salim Davidson telah didapati positif Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin serta menerima rawatan perubatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata, Jeffri tidak pernah melawat mana-mana premis Sime Darby dalam tempoh 16 hari lepas.

"Kakitangan yang menjadi kontak dengannya dalam tempoh tersebut telah melakukan kuarantin sendiri dan menjalani pemeriksaan perubatan yang diperlukan," katanya.

Kumpulan itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pekerjanya, termasuk menjalankan pengesanan kontak untuk mengenal pasti mereka yang telah menjadi kontak dengan GCEO.

Ia berkata bahawa Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mustamir Mohamad telah mengambil alih tanggungjawab GCEO semasa ketiadaannya dalam memastikan kesinambungan perniagaan.

Sementara itu, premis Sime Darby di seluruh negara ditutup dari 18 hingga 31 Mac sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Syarikat itu telah memulakan pelan kesinambungan perniagaannya dan semua kakitangannya yang berpangkalan di Malaysia akan bekerja dari jarak jauh.

Sime Darby juga telah memulakan pelan kesinambungan perniagaannya di seluruh operasi kumpulan di Asia Pasifik untuk memastikan gangguan yang minimum terhadap operasi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!