Perak lulus RM720,000 untuk kotak makanan
IPOH - Kerajaan Perak meluluskan peruntukan khas berjumlah RM720,000 bagi menyediakan kotak makanan untuk rakyat di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemberian kotak makanan itu bagi mengurangkan beban golongan sasar yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Beliau berkata, bantuan sosial tersebut merupakan inisiatif tambahan kerajaan negeri khususnya kepada mereka yang tidak dapat bekerja atau menjana pendapatan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac 2020.
"Bantuan kotak makanan yang mengandungi barangan keperluan asas ini akan diagihkan melalui Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil dalam masa terdekat.
"Pemilihan penerima juga adalah atas budi bicara pihak Pejabat Daerah tetapi keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak dapat keluar bekerja sebab Perintah Kawalan Pergerakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Faizal berkata, pemberian bantuan kotak makanan ini tidak memerlukan proses permohonan dan pihak Pejabat Daerah akan mengagihkan terus kepada penerima yang layak.
"Penerima sedia ada menerusi Program Kad Perak Prihatin tidak termasuk dalam senarai bantuan tersebut memandangkan mereka masih terus terima bantuan RM80 sebulan untuk membeli barangan asas," katanya.
Kerajaan Perak sebelum ini mengumumkan beberapa inisiatif dan inisiatif tambahan dalam usaha menangani kesan penularan koronavirus (Covid-19).
[Artikel berkaitan] - Kerajaan Perak biayai makanan petugas kesihatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!