Mahkamah dengar hujah kes bunuh Kevin Morais 17 April
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 April ini untuk mendengar penghujahan akhir pembelaan kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemui dalam dram berisi konkrit lima tahun lalu.
Hakim Datuk Azman Abdullah turut menetapkan 3 April untuk peguam mewakili enam tertuduh tersebut memfailkan hujahan bertulis dan pihak pendakwa perlu membalas kepada hujahan pihak pembelaan sebelum 13 April.
Perkara tersebut didedahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam, Datuk N Sivananthan ketika ditanya mengenai perkembangan kes tersebut.
“Mahkamah menetapkan 17 April untuk hujahan lisan dan juga untuk penjelasan. Penghujahan perlu dikemukakan sebelum itu,” kata Sivananthan.
Wan Shaharuddin berkata, pihak pembelaan telah menutup kes berkenaan pada 12 November 2019.
Beliau berkata, mahkamah akan menetapkan satu lagi tarikh untuk memberikan keputusan sama ada enam tertuduh didapati bersalah atau dibebaskan daripada pertuduhan tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!