Aktiviti eksport, import diteruskan seperti biasa
PUTRAJAYA - Aktiviti pengeluaran, pemprosesan dan pengedaran termasuk eksport dan import diteruskan seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan dari 18 Mac hingga 31 Mac bagi memastikan kelangsungan ekosistem rantaian bekalan makanan, demikian menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
"Justeru, proses pembekalan daripada pemborong kepada peringkat peruncitan, masih berjalan seperti sedia kala dan orang ramai dinasihatkan, supaya tidak membuat belian panik dan menyimpan stok bahan makanan secara berlebihan," kata kementerian itu.
Kenyataan itu menyebut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah membuat tinjauan ke MyFarm Outlet di Putrajaya dan kilang beras YHL Trading Sdn Bhd di Semenyih hari ini bagi memastikan bekalan makanan dalam pasaran mencukupi.
Menurut kementerian itu, bekalan makanan bagi kumpulan makanan utama termasuk beras, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan berada pada tahap stabil dan mencukupi.
"Bekalan ini ditampung melalui pengeluaran domestik, import dan stok bekalan. Kedudukan stok beras dalam pasaran setakat ini pada tahap 500,000 tan metrik," katanya.
Kementerian itu menyatakan penyampaian perkhidmatan kementerian kepada kumpulan sasar, juga tetap diteruskan seperti biasa terutama di barisan hadapan, seperti perkhidmatan pengembangan, biosekuriti, pemeriksaan dan kuarantin makanan.
"Kementerian akan terus memantau dan bekerjasama dengan pihak pengeluar dan pengedar, bagi memastikan situasi bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan keperluan bekalan makanan tersedia," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!