Tiada solat Jumaat esok, bantu negara putuskan rantaian virus Covid-19

Para jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu. -Foto Bernama
Para jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua masjid di seluruh negara akan menghentikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi membantu negara untuk memutuskan rantaian virus koronavirus (Covid-19), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai semalam hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19, solat Jumaat tidak diadakan esok.

“Patuhilah arahan yang dikeluarkan dan gantilah solat Jumaat dengan solat Zuhur di rumah masing-masing bersama keluarga,” katanya dalam khidmat pesanan awam yang disiarkan di stesen-stesen televisyen hari ini.

Jelasnya arahan tersebut selari dengan langkah yang diambil di beberapa negara Islam lain, seperti Arab Saudi dan Kuwait.

“Hampir keseluruhan bersetuju dalam kes seperti ini dan semua pihak hendaklah mematuhi perintah yang ditetapkan pemerintah.

“Sekali lagi pesan saya, solatlah Zuhur di rumah, Insya-ALLAH ada hikmahnya,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengisytiharkan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara, bagi mengekang penularan Covid-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 110 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes dengan negara mencatatkan dua kematian pertama pada Selasa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!