Peniaga diminta patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan
Garisan merah sejauh satu meter bagi setiap pelanggan ketika berada di kaunter bayaran sebagai salah satu langkah menangani penularan COVID-19 ketika tinjauan di sebuah pasaraya di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
Perintah tersebut antara lain menuntut premis perniagaan ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barang-barang keperluan harian.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bukit Bintang, See Foo Hoong berkata, golongan peniaga perlu memainkan peranan dan bersatu memerangi Covid-19 dengan mematuhi perintah tersebut bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak itu.
"Di Jalan Alor, Bukit Bintang semua peniaga telah menutup premis masing-masing dan memberi kerjasama kepada permintaan kerajaan. Saya harap semua peniaga faham bahawa ini merupakan tanggungjawab bersama," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Media melaporkan masih terdapat peniaga yang tidak menghiraukan perintah bersandarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 itu dan terus berniaga seperti biasa.
Perintah tersebut menyatakan bahawa kedai makanan boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran syarikat tertentu seperti Grab Food atau Food Panda.
Setiausaha Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamad Zamri Mohammed pula meminta peniaga menerima situasi negara yang turut dialami seluruh dunia dan menyifatkan tindakan sesetengah golongan itu meneruskan aktiviti jual beli hanya untuk tempoh sementara.
"Saya percaya dan yakin peniaga tidak berniat protes atau tidak mahu menurut perintah ini, tapi mereka juga mungkin terkejut kerana perkara ini baharu dan berlaku tiba-tiba. Tentunya mereka ini risau hilang sumber pendapatan," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman pula meminta pihak berkuasa mempercepatkan bantuan berupa wang tunai kepada penjaja yang terjejas.
"Penjaja kecil ini hidupnya kais pagi makan pagi, bila kedai kena tutup dua minggu, tentunya memberi kesan yang besar kepada mereka," katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!