Larangan merokok: Premis makanan terus dipantau
PONTIAN - Pejabat Kesihatan daerah telah mengeluarkan 10 notis amaran hasil pantauan ke 524 premis sejak larangan penguatkuasaan merokok pada 1 Januari lepas.
Pegawai Kesihatan daerah, Dr Surinah Asan berkata notis yang dikeluarkan itu merupakan amaran kepada peniaga yang gagal memasang papan tanda larangan merokok di premis mereka.
Bagaimanapun pihaknya masih menjumpai putung rokok di koridor premis makanan dan keadaan itu sepatutnya tidak boleh dibiarkan kerana menjejaskan kebersihan kawasan di premis tersebut.
“Peniaga makanan didapati sudah tidak lagi menyediakan bekas habuk rokok. Mereka memberitahu putung rokok di koridor dibuang oleh pelanggan,” katanya ketika ditemui sewaktuTaklimat Penguatkuasaan Larangan Merokok di Dewan Majlis Daerah Pontian, Benut, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi seramai 28 anggota Pejabat Kesihatan daerah digerakkan bagi memantau 958 premis yang terlibat dengan kawasan merokok di daerah ini.
“Langkah yang diambil ini selari dengan pewartaan tempat makanan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11 peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.
Pemeriksaan bukan sahaja dijalankan di kawasan bandar tetapi juga di pekan-pekan kecil dan kampung-kampung,” katanya.
Katanya lagi pendekatan amaran lisan dan pendidikan digunakan bagi menjelaskan tentang pewartaan merokok sewaktu pemeriksaan berkenaan dijalankan dalam tempoh enam bulan sebelum pelaksanaan denda dikuatkuasakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!