Fahami erti takwa kepada ALLAH
ORANG Islam disuruh bertakwa kepada ALLAH yang besar ertinya. Malangnya pada masa sekarang kebanyakan orang Islam menyamakan takwa dengan hanya perkataan ‘takut’ dan dengan itu membawa erti makna taqwa kepada tahap yang sungguh cetek.
Selepas kita merendahkan konsep besar ini kepada hanya konsep takut, maka senanglah kita melaga-lagakan ALLAH dengan perkara-perkara yang langsung tiada tandingnya dengan ALLAH seperti virus Covid-19. Wujudlah ramai antara kita yang megah buat kenyataan mereka lebih takut kepada ALLAH tetapi tak takut mati di tangan virus Covid-19 dan bersungguh-sungguh nak ke perjumpaan tabligh yang tidak diwajibkan dalam al-Quran mahupun sunnah. Selepas di Malaysia kini di Indonesia pula.
Tak tahukah haji ke Mekah pun tidak diwajibkan kepada semua? Tak tahukah bahawa pada hakikatnya dalam sejarah Mekah sendiri pun sudah berpuluh kali ditutup akibat pelbagai sebab seperti peperangan, kebakaran dan wabak penyakit dan proses baik pulih? Bukankah Nabi kita sendiri pernah rela tunggu satu tahun untuk menunaikan haji dengan Perjanjian Hudaibiyah yakni orang Islam hanya dibenarkan memasuki Makkah pada tahun yang berikutnya?
Kenapa kita pula tidak rela menunggu beberapa bulan untuk perjumpaan tahunan seperti perjumpaan tabliqh, sembahyang Jumaat, ceramah-ceramah agama dan selainnya? Bukankah salah satu daripada 5 perkara asas maqasid syariah adalah 'memelihara nyawa (Hifzu al-Hayah)'?
Konsep takwa adalah konsep yang besar, mendalam dan menyeluruh. Malangnya, dalam terjemahan ke bahasa Melayu kita guna perkataan takut.
Apakah yang al-Quran ertikan mengenai takwa? Siapakah yang dikatakan orang yang bertakwa (Muttaqoon)? Disini saya akan memberi dua ayat al-Quran yang muhkamah (jelas) mengenai takwa. Diharapkan saudara-saudara dan saudari-saudari buat renungan dan muhasabah diri.
“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada ALLAH, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa." - Quran 2:177
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. - Quran 5:8
Adakah kita bersikap adil kalau perbuatan kita dapat mendatangkan mudarat kepada orang lain termasuk keluarga dan ibu bapa kita sendiri?
Bertakwalah kepada ALLAH, takutlah kepada virus Covid-19.
Kita harus rela menunggu sehingga masa yang selamat untuk membuat perjumpaan, sembahyang berjemaah di masjid dan pergi mendengar ceramah-ceramah. Mari kita belajar daripada al-Quran dan ikut contoh Nabi.
* Anas Zubedy ialah Pengarah Urusan dan Pengasas Zubedyu (M) Sdn Bhd, sebuah organisasi latihan dan pembangunan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!