25,000 penyokong lonjak motivasi Lang Merah

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (depan, bawah) menjulang Unity Shield 2019 bersama pasukannya pada majlis penyampaian hadiah di Stadium Darul Aman, semalam. - Foto Ahmad Zaki Osman
Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (depan, bawah) menjulang Unity Shield 2019 bersama pasukannya pada majlis penyampaian hadiah di Stadium Darul Aman, semalam. - Foto Ahmad Zaki Osman
A
A
A

KEDAH akui sokongan padu 25,000 penyokong setia mereka memenuhi Stadium Darul Aman semalam berjaya menyuntik semangat pasukannya muncul juara sulung Unity Shield 2019 selepas menewaskan Perak 2-0.

Ketua Jurulatihnya, Aidil Shahrin Sahak berkata, namun semua pemain baru termasuk lima pemain importnya sedikit gugup pada awal permainan kerana berusaha menyesuaikan diri dengan suasana stadium dan padang.

Menurutnya, pasukannya terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit pada separuh masa pertama untuk membentuk keserasian kerana pada waktu yang sama diasak The Bos Gaurus bertubi-tubi sebaik wisel permulaan dibunyikan.

“Di sebalik suasana ini sebenarnya (kehadiran 25,000 penyokong) turut memotivasikan semua pemain Kedah kerana pada waktu yang sama mereka mahu menunjukkan kemampuan masing-masing pada aksi persiapan pramusim 2019

“Ini adalah suatu fenomena yang positif kerana mereka hadir untuk menyokong dan berharap pada perlawanan seterusnya mereka akan terus memberikan sokongan padu kepada pasukan,” katanya pada sidang media di Stadium Darul Aman.

Aidil mengakui Perak sebuah pasukan yang bagus dalam aspek menyerang dan juga bertahan kerana persefahaman di kalangan pemain mereka cukup tinggi.

Aidil Shahrin berkata, pemain berjaya menyeimbangkan corak agresif juara Piala Malaysia 2018 itu pada 15 minit terakhir babak separuh masa pertama dan mula melakukan serangan balas ke kubu pasukan pelawat.

“Pemain juga berjaya memenuhi sasaran awal kami yang tidak mahu bolos pada perlawanan ini selain berjaya menjaringkan dua gol dan mereka semua menunjukkan komitmen yang cukup baik setakat ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, corak permainan Kedah berubah pada separuh masa kedua hasil kesungguhan pemain memburu gol pertama dan berhasil melalui Fernando Ortega pada minit ke-67 yang memanfaatkan sepakan percuma pantas dilakukan Jonatan Bauman.

“Sejak babak pertama lagi mereka menunjukkan kesungguhan dan kredit kepada semua pemain termasuk Syahrul Azwari Ibrahim menjaringkan gol kedua (minit ke-75) malah kemasukannya juga berjaya mengubah dan menambahkan lagi tempo serangan ke kubu lawan,” katanya.

Aidil Shahrin berkata, beliau melihat penambahbaikan masih lagi perlu dilakukan terhadap pasukannya dan secara jujurnya semua pemain baru masih memerlukan masa untuk meningkatkan persefahaman dengan semua pemain sedia ada.

“Jelajah ke Thailand selepas ini adalah salah satu tujuan untuk meningkatkan semangat berpasukan dan persefahaman di antara satu sama lain termasuk untuk memberi ruang kepada semua pemain beraksi dan keputusan perlawanan tidak menjadi keutamaannya saya,” katanya.

Pada aksi persahabatan pramusim 2019 seterusnya di Thailand, Kedah akan menghadapi Juara Toyota Thai League 1 2018, Buriram United pada 19 Januari, Krabi FC (21 Januari) dan Surat Thani FC (23 Januari).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!