Lelaki dakwa bayar RM40,100 untuk komputer riba berharga RM1,800
KUANTAN - Seorang kakitangan awam mendakwa diperdayakan untuk membayar RM40,100 bagi sebuah komputer riba yang dibeli di laman sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 29 tahun mendakwa komputer riba itu ditawarkan pada harga RM1,800 semasa dia melayari laman sosial itu pada 25 Februari lalu.
"Mangsa mendakwa tertarik dengan harga itu lalu menghubungi penjualnya menerusi aplikasi WhatsApp dan telah membuat bayaran pada hari yang sama.
"Bagaimanapun dia mendakwa pihak penjual meminta dia membuat lapan lagi transaksi pembayaran kononnya bagi kos insurans, penghantaran dan pelepasan cukai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Wazir berkata, mangsa akhirnya menyedari telah membuat bayaran melebihi harga asal menyebabkan dia membuat laporan di Balai Polis Gambang di sini semalam.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Dalam kes berasingan, seorang kakitangan hospital berusia 32 tahun mendakwa kerugian RM50,000 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam menerusi panggilan telefon pada pertengahan bulan ini.
Mangsa dihubungi seorang wanita yang mendakwa dia adalah pegawai Mahkamah Majistret Kuantan kononnya mahu mendapatkan pengesahan ketidakhadiran mangsa ke mahkamah bagi perbicaraan tunggakan kad kredit.
"Suspek menakutkan mangsa dengan mengatakan mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap dan apabila panggilan disambungkan ke suspek lelaki yang menyamar sebagai polis, mangsa diberitahu namanya mempunyai rekod jenayah lampau.
"Mangsa diarahkan untuk membuka akaun baharu di sebuah bank dan perlu memindahkan simpanannya ke dalam akaun tersebut kononnya bagi tujuan siasatan serta berkongsi maklumat perbankan atas talian itu kepada suspek," katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila membuat semakan baki petang semalam dan mendapati wang simpanannya telah dipindahkan tanpa pengetahuannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!