Bukan masa jadikan Covid-19 isu politik
KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan menegaskan ini bukanlah masanya untuk menjadikan isu penularan koronavirus (Covid-19) sebagai modal kekecewaan politik.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, pihaknya menyambut baik tindakan berani kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan seluruh negara berdasarkan kepada situasi semasa.
“Seperti biasa, sesuatu cara baharu dilaksanakan dalam langkah pencegahan wabak Covid-19 ini sedikit sebanyak mencetuskan panik dan menjadi modal politik pihak parti politik pembangkang yang mahu mengeruhkan keadaan.
“Kenyataan Pemuda Amanah yang menyalahkan Perdana Menteri dan barisan Kabinet baru ini juga amatlah tidak bertanggungjawab dan seolah-olah bersikap seperti menangguk di air keruh.
“Kecaman dan kemarahan tidak akan menyelesaikan masalah apatah lagi membantu menenangkan rakyat dalam menghadapi situasi cemas julung kali ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Dua hari lalu, Timbalan Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir, menggambarkan kerajaan seolah-olah kehilangan punca selepas beberapa arahan yang disifatkannya sebagai bersimpang siur dan terpaksa ditarik semula dalam masa 24 jam.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Arahan bersimpang siur, Pemuda Amanah persoal tindakan kerajaan
Mengulas lanjut, Noor Hariri turut mempersoalkan tindakan yang dilakukan kepimpinan lama di awal berlakunya Covid-19 melibatkan negara luar dan ketika itu berlaku kematian pertama di Wuhan.
Imbasan tersebut katanya, bukanlah mahu mencari salah mana-mana pihak tetapi sekadar ingin memperingatkan bahawa tidak perlulah menuding jari di saat sebegini tetapi wujudkan kesepakatan dalam menangani isu Covid-19 sebelum negara dilanda gelombang ketiga.
“Apa yang telah berlalu sudah pun dapat dinilai oleh rakyat. Jadi sekali lagi Pemuda UMNO Kelantan ingin merayu dan berpesan kepada rakyat Malaysia supaya patuh dengan semua arahan kerajaan hari ini.
“Perlu kekal tenang dalam usaha kita menyelamatkan nyawa diri dan keluarga. Percayalah, sifat tanggungjawab dan sikap kebersamaan kita semua dapat mencegah penularan wabak ini dengan jayanya.
“Dengar dan patuhlah pada rayuan Perdana Menteri sendiri dan pihak berwajib supaya tidak keluar rumah sesuka hati,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!