Covid-19: Inisiatif Ihsan Johor diperkenal
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri Johor hari ini mengumumkan Inisiatif Ihsan Johor bagi meringankan beban pesakit koronavirus (Covid-19) dan golongan yang terjejas pendapatan kesan penularan wabak itu.
Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri memahami implikasi ekonomi yang dialami rakyat negeri itu.
Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu meminimumkan rutin hidup seharian rakyat dan atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab kerajaan negeri memberikan bantuan secara on off menerusi inisiatif itu.
"Antaranya bantuan berjumlah RM1,000 kepada pesakit yang positif Covid-19 di Johor. Sehingga 19 Mac Johor mencatatkan 89 mangsa positif Covid-19 di Johor. Pagi tadi angka tersebut meningkat kepada 110 orang.
"Kerajaan negeri juga bersetuju memberikan peruntukan secara one off kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang sebanyak RM20,000," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Selain itu katanya, waris mangsa yang meninggal dunia akan menerima RM2,000 selain inisiatif pengecualian bayaran sewa premis bermula pada April hingga Disember 2020 kepada 10,371 peniaga yang menyewa premis milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pasar awam.
"Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) juga akan memberi bantuan segera bagi kategori asnaf, fakir dan miskin yang terkesan dengan Covid-19.
"Peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Johor yang beroperasi di premis milik kerajaan negeri diuruskan Perbadanan Usahawan Negeri Johor (PUNJ) berjumlah 151 juga menerima inisiatif itu," katanya.
Bagi kakitangan kerajaan negeri yang berstatus Pekerja Sambilan Harian (PSH) pula Hasni memberitahu, mereka akan dibayar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.
Beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai pro rakyat yang penuh tanggungjawab selain pengumuman beberapa lagi insentif lain.
"Hari ini sudah memasuki hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan kerajaan Persekutuan. Saya berharap semua dapat akur dan patuh kepada segala larangan, sekatan dan penutupan premis yang diperincikan dalam perintah tersebut," pesannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!