Pasar awam di Damansara diarah tutup

Keadaan pasar awam di Seksyen 17/27 Damansara, Petaling Jaya, yang dipenuhi orang awam telah diarahkan tutup hari ini.
Keadaan pasar awam di Seksyen 17/27 Damansara, Petaling Jaya, yang dipenuhi orang awam telah diarahkan tutup hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis mengarahkan orang awam yang memenuhi pasar awam di Seksyen 17/27 Damansara di sini bersurai sebelum pasar terbabit diarahkan tutup.

Ia susulan orang ramai yang dilihat memenuhi kawasan berkenaan sejak jam 7.30 pagi tadi sekali gus berisiko berlakunya penyebaran wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya mengesan terdapat kira-kira 100 individu berada di pasar terbabit semasa melakukan rondaan dan pemantauan.

"Selepas membuat semakan dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pasar berkenaan dikategorikan sebagai pasar awam.

"Walaupun pasar awam dibenarkan beroperasi namun polis menasihatkan semua peniaga berkenaan menghentikan operasi kerana kawasan itu dikunjungi ramai orang dan berisiko tinggi untuk berlaku penularan Covid-19," katanya hari ini.

Keadaan pasar awam di Seksyen 17/27 Damansara, Petaling Jaya yang kosong selepas lokasi itu diarahkan tutup hari ini.
Keadaan pasar awam di Seksyen 17/27 Damansara, Petaling Jaya yang kosong selepas lokasi itu diarahkan tutup hari ini.

Nik Ezanee berkata, pasukan rondaan kemudian telah menasihatkan operasi pasar itu ditutup dan orang ramai diminta beredar di kawasan itu kira-kira jam 9 pagi.

"Kira-kira 15 minit kemudian pasar berkenaan sudah dikosongkan. Pemantauan akan diteruskan bagi menasihatkan orang ramai berhubung arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Artikel Berkaitan:

"Polis mengharapkan kerjasama orang ramai supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan demi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!