MPSJ bakal batal lesen pengusaha makanan ingkar arahan
SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen perniagaan pengusaha premis makanan yang gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 31 Mac ini.
Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, arahan terbabit dikeluarkan berikutan pihaknya mendapati terdapat ramai pengusaha makanan masih membuka premis dan terus melayani pelanggan tanpa mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan sebelum ini.
Menurutnya, langkah keselamatan itu juga diambil bagi memastikan kesihatan dan keselamatan penduduk Subang Jaya terjamin tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang.
"Lanjutan daripada ‘ketidakpatuhan’ pengusaha makanan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa Rabu lalu sehingga 31 Mac ini, pihak MPSJ akan mengambil tindakan tegas dengan membatalkan lesen perniagaan mana-mana pengusaha di bawah kawasan pentadbiran MPSJ yang didapati melanggar undang-undang ditetapkan.
"Sekiranya disabitkan kesalahan peniaga terbabit juga boleh didenda RM 1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Noraini berkata, MPSJ menyediakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban penduduk dan peniaga yang terkesan.
Katanya, bagi peniaga yang menyewa medan selera, kiosk dan gerai MPSJ, bayaran sewa yang dijelaskan kepada MPSJ sebelum ini akan dibawa ke hadapan sebagai bayaran sewa bagi bulan berikutnya (carry forward).
"Pihak majlis juga akan membuat pembayaran balik kepada pengguna yang membatalkan tempahan fasiliti milik MPSJ sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Tuntutan boleh dibuat selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berakhir," katanya.
Dalam pada itu, Noraini turut mengingatkan orang awam dan kakitangan MPSJ sentiasa mengamalkan langkah pencegahan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.
Sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan Pusat Kawalan (Command Center) MPSJ di talian 03 80247700.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!