Kebajikan penuntut UUM tidak pulang ke kampung diutamakan
SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memastikan kebajikan penuntut yang tidak pulang ke kampung halaman masing-masing dijaga sebaiknya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, seramai 5,661 penuntut termasuk penuntut antarabangsa tinggal di kampus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Menurutnya, kebajikan dan keselamatan penuntut diberikan keutamaan termasuk pemeriksaan kesihatan selain memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang berada dalam kampus.
“Saya harap ibu bapa tidak panik atau bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara sekarang.
“Apa yang penting apabila penuntut tidak pulang ke kampung masing-masing, mereka terhindar daripada jangkitan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr Hendrik berkata, sepanjang berada di UUM, penuntut sentiasa dikawal rapi oleh pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) termasuk Jabatan Keselamatan Universiti yang mengawal pergerakan pintu masuk utama.
"Pihak universiti juga sentiasa mengemaskini informasi terkini yang dikeluarkan kerajaan agar semua warga kampus khususnya pelajar mendapat maklumat tepat dan terkini, selain mematuhi perintah kawalan pergerakan," katanya.
Menurutnya, segala keperluan penuntut dalam kampus mencukupi termasuk kemudahan kafeteria yang kini melaksanakan kaedah ‘take away’ atau ‘delivery service’.
"Kedai runcit dalam kampus juga dibuka kepada penuntut sepanjang tempoh itu," katanya.
Dr Hendrik berkata, pihak universiti juga membuat pemantauan sekitar kafeteria dan mendapati kesemua penuntut mematuhi arahan yang hanya membenarkan makanan dibungkus dan dibawa balik ke bilik penginapan.
"Tiada penuntut dibenarkan berkumpul atau makan di kafeteria. Universiti akan pastikan kesejahteraan kampus khasnya penuntut dijaga sebaiknya," katanya.
Menurutnya, komitmen pegawai keselamatan dan Pusat Kesihatan Universiti siap siaga dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada penuntut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!