Semua masjid dan surau patuh arahan di Pulau Pinang
GEORGETOWN - Semua pengurusan masjid dan surau di negeri ini mematuhi arahan kerajaan supaya tidak mengadakan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berakhir 31 Mac depan.
Tinjauan Sinar Harian di kawasan Seberang Perai tengah hari tadi mendapati ada warga asing berjalan menuju ke masjid tetapi dilihat berpatah balik selepas dimaklumkan masjid ditutup selain beberapa notis serta kain rentang diletakkan bagi memaklumkan penutupan itu.
Beberapa masjid di sekitar Kepala Batas turut dipantau anggota polis yang membuat pengumuman mengenai tiada solat Jumaat selain mengingatkan orang ramai mematuhi arahan kerajaan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, semua pentadbiran masjid dan surau memahami arahan perintah Kawalan Pergerakan.
Bagaimanapun Ahmad Zakiyuddin juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, ada jemaah yang mungkin tidak mendapat maklumat terutama warga asing.
"Semua masjid dan surau di negeri ini ditutup dan tiada sebarang aktiviti dilakukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Kemudahan aplikasi kumpulan Whatsapp turut digunakan pengurusan masjid bagi menghebahkan mengenai tiada solat Jumaat dan jemaah boleh menunaikan solat Zohor pada hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, solat Jumaat tidak diadakan hari ini selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac.
Katanya, arahan tersebut selari dengan langkah yang diambil di beberapa negara Islam lain seperti Arab Saudi dan Kuwait.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!