Polis iring peserta himpunan tabligh ke hospital

Keadaan jalan di sekitar Bandar Alor Setar yang dikawal polis. - Foto Ihsan Pembaca
Keadaan jalan di sekitar Bandar Alor Setar yang dikawal polis. - Foto Ihsan Pembaca
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki dipercayai peserta himpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini, diiring polis ke Hospital Lama Alor Setar hari ini bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai tidak pernah menjalani pemeriksaan di mana-mana hospital atau klinik kerajaan selepas pulang dari perhimpunan itu pada 1 Mac lalu dan dipercayai telah menghadiri beberapa majlis di sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, beliau bersama sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar segera membuat pemeriksaan di rumah lelaki berkenaan yang dipercayai tinggal bersendirian di Jalan Tanjung Bendahara selepas menerima maklumat kira-kira jam 10.00 pagi, hari ini.

"Polis menerima makluman daripada masyarakat yang bimbang dan takut sekiranya lelaki berkenaan menyebarkan virus.

"Susulan itu, kita mengambil tindakan mengawal rumah lelaki tersebut supaya dia tidak keluar," katanya dalam sidang akhbar di IPD Kota Setar di sini, hari ini.

Berikutan itu, lelaki tersebut menunggang motosikal sambil diiringi dua kenderaan polis menuju ke hospital berkenaan untuk menjalani pemeriksaan.

Mohd Rozi berkata, pada masa sama, pihaknya sedang berusaha mengesan kemungkinan peserta lain yang menyertai perhimpunan itu untuk menjalani pemeriksaan untuk mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Selain itu, kita juga menerima maklumat daripada penduduk tempatan yang bimbang dengan penularan penyakit itu susulan terdapatnya sebuah majlis keraian yang diadakan di kawasan Derga di sini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Rozi berkata, sebanyak 15 laluan di sekitar Bandar Alor Setar ditutup bagi mengurangkan pergerakan orang ramai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dikuatkuasakan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, walaupun sudah tiga hari perintah tersebut dikuatkuasakan, namun masih ada sebilangan orang awam dikhuatiri masih tidak memahami Perintah Kawalan Pergerakan itu apabila dikesan masih bersiar-siar serta melakukan aktiviti harian seperti biasa.

"Selain itu, kita turut mengadakan sekatan jalan raya untuk memastikan masyarakat akur dan hanya keluar dari rumah sekiranya benar-benar perlu.

"Sebilangan masyarakat tidak memberi kerjasama penuh bagi mematuhi perintah berkenaan dengan memberi pelbagai alasan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!