Polis buru sindiket tipu jual topeng muka di FB, WhatsApp
KEPALA BATAS - Polis sedang mengesan beberapa individu dipercayai sindiket penipuan penjualan penutup mulut dan hidung, yang aktif mengiklankannya di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApps sehingga menyebabkan kerugian RM8,890 di daerah Seberang Perai Utara di sini sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sehingga hari ini pihaknya telah membuka tiga kertas siasatan berhubung kes penipuan penjualan penutup mulut dan hidung dalam talian yang tidak wujud.
"Pelbagai iklan dan tawaran termasuk harga murah ditawarkan individu berkenaan, untuk menipu mangsa termasuk terbaharu semalam seorang pelajar wanita sebuah universiti awam di sini kerugian RM780, selepas ditipu sindiket itu.
"Mangsa yang berumur 23 tahun itu telah terlihat satu iklan di Facebook yang menawarkan penjualan penutup mulut dan hidung. Berikutan permintaan yang tinggi sekarang ini, pelajar berkenaan tidak dapat membelinya di kedai dan dia memilih untuk membeli menerusi dalam talian bagi kegunaan mangsa dan rakan-rakan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pelajar itu membuat tempahan sebanyak 30 kotak yang mengandungi 1,500 penutup mulut dan hidung daripada suspek, serta membuat satu transaksi pindahan wang sebanyak RM780 ke akaun diberikan dan peniaga berkenaan berjanji akan menghantar tempahan tersebut dalam masa tiga hari.
Noorzainy berkata, pelajar wanita itu hanya menyedari dia ditipu, selepas membaca komen pengguna Facebook lain yang menyatakan penutup mulut dan hidung yang dibeli daripada penjual tersebut, tidak pernah diterima dan mangsa kemudian cuba menghubungi suspek, namun suspek gagal dihubungi.
Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati sindiket itu didalangi warga tempatan, yang mengambil kesempatan atas keperluan orang ramai dan usaha mengesan suspek terlibat giat dijalankan.
"Kes itu dan dua lagi dipercayai membabitkan sindiket yang sama, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Saya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan pembeli boleh membuat semakan melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengesan mereka yang menipu," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!