Singapura sedia penempatan sementara untuk pekerja Malaysia

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Singapura telah menyediakan penempatan sementara untuk rakyat Malaysia yang bekerja di negara berkenaan di Jurong East Sports Complex, sementara majikan mereka mendapatkan kediaman yang sesuai.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, berdasarkan tinjauan yang dijalankan mendapati terdapat rakyat Malaysia telah mendapatkan penempatan sementara di Jurong East Sports Complex tersebut.

"Wisma Putra ambil maklum susulan keputusan kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac sebahagian rakyat tempatan yang bekerja di Singapura menghadapi kesulitan. Antara kesulitan yang dihadapi ialah tidak dapat berulang alik dari Johor untuk bekerja.

"Selain itu, menurut laporan media yang tular semalam, rakyat Malaysia juga didakwa berdepan kesukaran untuk mendapatkan tempat penginapan sehingga ada antara mereka yang terpaksa bermalam di stesen MRT Singapura.

"Wisma Putra amat memandang serius laporan media ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar Negeri turut menggesa rakyat Malaysia di Singapura yang menghadapi masalah penginapan atau sebarang bentuk kerumitan supaya segera menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

"Ia amat penting bagi membolehkan perwakilan kita di sana menghulurkan bantuan konsular sewajarnya," katanya.

Beliau berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dengan kerjasama Persatuan Malaysia di Singapura (Masis) serta pihak berkuasa negara itu sedang giat mengenal pasti semua rakyat Malaysia di Singapura yang terbabit dalam permasalahan itu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Wisma Putra sentiasa memberi keutamaan terhadap usaha membantu rakyat Malaysia di luar negara yang berdepan kerumitan, khususnya di negara terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!