Covid-19: Pesakit di Tawau mangsa ketiga meninggal dunia
PUTRAJAYA- Seorang lagi pesakit Covid-19 di negara ini disahkan meninggal dunia petang tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit adalah daripada kluster Perhimpunan Tabligh Sri Petaling menghembuskan nafas terakhirnya jam 6.27 petang.
"Pesakit merupakan kes ke-152 direkodkan dan dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac 2020 setelah mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection (SARI)," katanya.
Menurutnya, lelaki berusia 58 tahun itu diberi bantuan mesin pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama.
"Kesihatannya merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia.
"Takziah diucapkan kepada keluarga arwah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Peserta Ijtimak Tabligh korban kedua Covid-19
Jenazah lelaki maut akibat Covid-19 selamat dikebumikan
Kes kematian itu dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekaligus menjadikan jumlah korban 3 orang.
Selasa lalu, dua kematian pertama melibatkan seorang paderi di Hospital Umum Kuching dan seorang peserta himpunan tabligh di Hospital Sultanah Aminah, Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!