'Mereka buat saya macam orang luar'

Khuzairy menunjukkan kafenya yang telah dirobohkan.
Khuzairy menunjukkan kafenya yang telah dirobohkan.
A
A
A

TAMAN KERAMAT – “Saya bukan pengemis, saya sendiri mengusahakan kafe ini sejak 20 tahun lalu, namun mereka buat saya macam ‘orang luar’,” itu luahan Pemilik Cafe Al Hambra, Khuzairy Abu Hassan apabila kafenya di sini, dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pagi tadi.

Khuzairy berkata, dia turut mempersoalkan apa tindakan MPAJ terhadap peniaga warga asing yang beroperasi di kawasan itu.

“Mereka hanya menjawab akan ambil tindakan, tetapi bila? Saya mahu berniaga apa dan di mana esok?, tapak sedia ada sudah dirobohkan,” katanya.

Dia berkata, pihaknya mendakwa telah memohon pertolongan daripada individu tertentu, namun tidak dihiraukan.

“Lihat apa yang berlaku ke atas kafe saya, mereka tidak berasa kasihan ke atas nasib diri dan keluarga saya,” katanya.

Khuzairy berkata, keuntungan perniagaan yang diperoleh tidak banyak kerana dia hanya menjalankan operasi perniagaan pada jam 5.30 hingga 1 pagi.

“Itu pun bergantung kepada jumlah pelanggan. Duit yang diperoleh itu adalah untuk menyara isteri dan tiga orang anak berusia 10, 16 dan 21 tahun,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelanggan Husen Manap, 60, berkata, dia turut merasai nasib yang menimpa Khuzairy.

Artikel Berkaitan:

“MPAJ juga pernah merobohkan kedai saya di Taman Cahaya satu ketika dahulu, berhampiran gerai saya itu pula ada peniaga warga asing apakah pihak berkuasa tempatan sudah mengambil tindakan?” katanya.

Husen yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia terkilan dengan tindakan MPAJ yang sepatutnya menjalankan penguatkuasaan secara menyeluruh.

“Ramai peniaga warga asing yang menjalankan operasi secara haram, sepatutnya pihak berkuasa tempatan turut merobohkan premis peniaga warga asing ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad memaklumkan perobohan kafe tersebut adalah untuk memberi laluan kepada projek pembinaan dewan yang bernilai RM1.5 juta.

“Tapak tersebut adalah rizab dewan, keluasan tapak adalah 1.484 meter persegi. Dewan serbaguna satu tingkat yang dibina itu adalah milik MPAJ,” katanya.

Norhayati berkata, pihaknya telah memberi notis kepada Khuzairy sejak Disember lalu.

“Sepatutnya dia berpindah ke tempat lain, tanah tersebut tiada TOL namun saya difahamkan dia telah memohon kepada Pejabat Tanah dan Daerah Gombak.

“Kita juga telah mengadakan perbincangan serta menawarkan unit di medan selera, namun dia telah menolak tawaran tersebut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!