Perlunya bersatu ketika bencana

A
A
A

HARI ini masuk hari keempat negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan setelah ia dikuatkuasakan pada Rabu lalu.

Langkah itu diambil bagi membendung serta mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang semakin serius sehingga membawa kepada dua kes kematian.

Langkah itu dilaksanakan kerana itulah satu-satunya peluang kita untuk mencegah serta menghapuskan wabak itu daripada terus tersebar disebabkan ketiadaan vaksin atau ubat yang mampu merawatnya sehingga kini.

Malangnya, dalam usaha kerajaan untuk mencegah penularan wabak ini, sikap rakyat kita terhadapnya sangat mendukacitakan.

Benar tindakan kawalan pergerakan ini menyusahkan dan menjejaskan kehidupan semua pihak tetapi dalam situasi yang kritikal sebeginilah sepatutnya kita sebagai rakyat harus mempunyai kepatuhan, disiplin dan toleransi yang tinggi.

Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan bukanlah lesen untuk kita bercuti atau balik kampung tetapi ia adalah tindakan kecemasan bagi membolehkan semua mengasingkan diri di rumah bagi membendung penularan Covid-19.

Disebabkan pemahaman masyarakat yang rendah, arahan itu hampir menemui kegagalan apabila ia dilanggar pada hari pertama dikuatkuasakan.

Masih ramai yang berdegil keluar dan berkumpul di tempat umum terutamanya di warung dan kedai mamak untuk bersantai tanpa menghiraukan arahan yang telah dikeluarkan.

Sebaliknya, mereka yang peka terhadap arahan kerajaan itu pula bertindak mementingkan diri dengan melakukan pembelian panik yang melampau di pasar raya di seluruh negara dan melanggar perintah kawalan pergerakan dengan berpusu-pusu balik ke kampung.

Artikel Berkaitan:

Tindakan-tindakan sebegitu akan merugikan semua pihak.

Ia bukan setakat menggagalkan rancangan pembendungan wabak oleh kerajaan, malah akan mengancam nyawa seluruh rakyat negara ini.

Sudahnya, kita akan melihat bukan sahaja wabak ini semakin menggila, malah mungkin akan menyaksikan kematian yang pantas dan tidak terkawal pada hari-hari mendatang.

Sepatutnya pada waktu bencana dan kecemasan seperti ini kita seharusnya bersatu sebagai sebuah warga yang peduli dan bertanggungjawab.

Kemampuan negara untuk bertahan dan survive melawan wabak ini bukan sahaja bergantung kepada strategi, ketegasan dan kebijaksanaan kepemimpinan kerajaan tetapi turut bergantung kepada bagaimana kita mampu bersatu sebagai warga yang cekal, tabah dan bersabar.

Di samping kita memikirkan tentang keselamatan diri dan keluarga, kita juga harus peka dan prihatin dengan hak orang lain terutamanya mereka yang berada di barisan hadapan dalam memerangi wabak ini.

Ingatlah bahawa ada orang lain terutamanya pekerja dalam bidang kesihatan dan keselamatan yang terpaksa berkorban diri demi tugasan untuk memastikan kita semua selamat daripada sebarang ancaman.

Di kala kita semua berada bersama keluarga di rumah ketika ini, mereka terpaksa bekerja dan terdedah dengan ancaman wabak setiap masa serta harus meninggalkan keluarga masing-masing bagi memastikan keselamatan kita terpelihara.

Sebab itu kita wajib membantu mereka dengan mematuhi arahan semasa untuk terus berada di rumah bagi memastikan usaha mereka berjaya.

Ia juga sekurang-kurangnya mampu mengurangkan bebanan kerja mereka yang sedia ada.

Kita mampu bertahan dan mengatasi Covid-19 kalau kita bersatu, patuh dan berdisiplin sebagai sebuah bangsa yang prihatin dan bertanggungjawab.

Semoga kita semua mampu mengharungi semua ini dengan cekal dan sabar.

* Mujibu Abdul Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!